Bagaimana scammer di Malaysia beroperasi. (Bahasa)
Kita tengah sengkek. Tak ada duit. Kereta pula rosak. Tayar nak kena tukar sebab bukan saja bunga je dah haus tak disiram tetapi sampai nampak wayar dah.
“Mana nak cekau duit ni yob?”
Tengah scroll insta artis tetiba nampak komen ni:
“Hi, I’m old money collector amd I want to informed you to PM me back if you have old Malaysian, Singapore, Thailand and Saudi Arabia notes. The open price is RM10,000 per piece. God is great”
Mak aihh.. siap bersumpah lagi
Huishh… Macam best. Kebetulan ada duit kertas lama peninggalan arwah atok zaman Jepun dulu-dulu.
Ibarat bulan jatuh ke riba ni. Hohoho. Bukan bulan je, planet Marikh pun jatuh.
Apa lagi kita pun PM la Mat Saleh tu. Nampak macam meyakinkan sebab mat saleh kot mana Mat Saleh suka tipu.
Tahniah. Korang dah selangkah hampir kena scam!
Bagaimanakah Modus Operandi scammer pembeli luar negara:
Modus Operandi Pertama
1. Membuat tawaran harga yang tinggi untuk koleksi duit lama. Kebiasaannya 10 kali ganda daripada harga yang anda tawarkan di Mudah.my.
Alasan mereka duit lama itu akan dijual kepada muzium, collector atau bank dunia untuk mendapatkan harga yang lebih mahal dan sebagainya.
2. Apabila korang bersetuju, mereka akan meminta nombor akaun kita dan kemudiannya akan berjanji untuk membayar menggunakan “bank transfer” atau “Telegraphic Transfer” kepada anda.
3. 1 atau 2 hari kemudian, mereka akan menghubungi kita mengatakan ada masalah dengan pemindahan wang yang dijalankan. Alasan utama biasanya pihak berkuasa menahan wang yang di pindahkan ke akaun korang.
Kita juga mungkin akan mendapat email yang mengatakan duit telah dihantar kepada kita tetapi kita perlu membayar sejumlah wang (bayaran atau fee) untuk melepaskan duit itu ke akaun kita.
4. Tidak lama kemudian, ada rakan mereka dari Malaysia yang akan menghubungi kita menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia, Polis, Kastam atau apa sahaja pihak berkuasa yang berkaitan.
Mereka menghubungi kita kerana kita dikatakan telah membuat kesalahan berkaitan dengan penerimaan wang tersebut.
Kemungkinan juga mereka memberitahu kita bahawa akaun bank kita akan dibekukan kerana wang tersebut adalah duit dari pengganas dan sebagainya. Ada kemungkinan juga pegawai bank (palsu) akan menghubungi kita.
5. Orang yang menyamar ini kemudiannya akan mengatakan mereka boleh membantu kita untuk mendapatkan wang dari hasil pembelian tersebut tetapi kita perlu membayar sedikit “wang pampasan” kepada mereka.
6. Apabila kita sudah mula membayar ke akaun mereka, maka bermulalah episod “wang pampasan” yang tak pernah cukup.
Pembeli dan juga orang yang menyamar akan sentiasa memberikan pelbagai alasan untuk membolehkan mereka mendapat wang daripada kita.
Nombor telefon yang mereka gunakan biasanya bermula dengan +234 (Contoh +234 815 655 9228), nombor tersebut daripada Nigeria.
Namun, pada masa sekarang ini, mereka menggunakan pelbagai nombor luar negara; Mauritius (+230), Maldives (+960), UK (+44). Mereka mempunyai rangkaian diluar negara, dan ada menggunakan nombor telefon dari Malaysia.
Jadi, janganlah terlampau cepat percaya orang dalam media sosial ni. Tambahan yang bagi tawaran yang “too good, to be true” ni.
Sebelum kita nak memulakan langkah pertama dengan menerima tawaran mereka. Ada baiknya kita terlebih dahulu selidik dahulu dengan siapa yang kita hubungi.
Fikir dahulu sebelum bertindak
Zafiq Syaddiq Radzi (zafiqsyaddiqradzi.com)